Thursday, 6 November 2014

Syaitanku

Di dalam bilik tersebut gelap dan berasap, tetapi aku dapat melihat persekitarannya seperti hari siang di tengah hari. Udara di sekeliling bilik itu tampak nipis dan tidak berbau, ketika aku mencuba untuk merasa pergerakan angin di dalam bilik tersebut, aku berasa seperti pandanganku samar dan realiti perlahan-lahan hilang dari mindaku.

"Aku mesti bermimpi ni.." berkata aku pada diriku, tetapi jika benar aku sedang bermimpi, mengapa aku boleh sedar akan persekitaran di dalam bilik itu? Adegan tersebut samar di mataku tetapi aku merasa seperti kesedaranku ada di situ. Aku bingung untuk aku menyedari bahawa semua ini adalah benar ataupun aku sedang bermimpi. Semua ini tidak berapa penting kerana illusi ini akan hilang bila aku bangun dari tidurku. Itu yang bermain di fikiranku...

Sedang aku berjalan mundar-mandir di ruangan bilik yang gelap dan berasap itu, tiba tiba aku lihat munculnya suatu cahaya api dari belakang dinding yang diperbuat daripada gelas di hadapanku. Satu susuk tubuh lelaki keluar daripada cahaya api tersebut, semakin dekat lembaga itu menghampiriku, semakin jelas susuk tubuhnya dipandanganku. Aku tidak pernah berjumpa lelaki itu, tetapi hilang perasaan takut dari diriku seperti aku tahu siapakah gerangan yang muncul dari cahaya api tadi.

"Azazil"

Aku berdiri hanya beberapa meter dari Syaitan sendiri. Simbol kejahataan di dunia, Penghuni Neraka Jahanam dan Penghasut kaum Adam.  Dengan megahnya dia berdiri dan prostur badan yang berlagak sambil memegang secawan air yang aku pasti adalah arak. Dia menghampiriku dan memeluk badanku dengan senyuman yang melebar. Masih jelas di ingatanku cara dia memanggil aku seperti kami sudah lama berkenalan. "Anakku! Dah lama aku tunggu kau.." Dia mengarahkan jari telunjuknya yang panjang dan nipis ke arah kalendar yang tersangkut di dinding belakangku, tarikh 29/6/2014 dibulatkan dengan warna merah, tarikh lain dipangkah dan ada juga yang dikoyak dari kalendar tersebut. Aku terpaku, mataku terbeliak memandang ke arahnya sementara dia berjalan perlahan-lahan mengelilingiku. Aku terkejut kagum kerana dia tidak seperti yang diperkatakan orang. Mirip mukanya seperti lelaki yang berusia di pertengahan 20-an, berhidung mancung, dan mempunyai bibir yang nipis yang kelihatannya seperti senang untuk memberikan senyuman. Rambutnya berwarna coklat gelap yang kemas disikat rapi.

"Apa yang kau nak dengan aku?" Tanya aku tidak percaya yang aku baru menanyakan soalan kepada Syaitan. "Anakku, bukan aku yang memerlukan sesuatu dari kau, tetapi sebaliknya kau dan saudara saudara kau yang memerlukan sesuatu dari aku. Dunia yang kau hidup sekarang adalah jauh berbeda dari dunia yang dulu. Dunia yang dahulunya mudah untuk difahami kini telah menjadi sesuatu yang sangat kompleks untuk aku memperjelaskan kepada kau. Manusia, tak macam yang seperti permulaan zaman, tidak lagi puas dengan KEHIDUPAN dikurniakanNya, tetapi kau membuat yang sebaliknya untuk mendapat apa yang kau nak. Kebaikan dan Kejahatan? Hahaha! Kaum kau membuat kerja yang bagus dengan menjadikan konsep itu menjadi sesuatu yang besar dan sukar untuk dilakukan. Aku sendiri pun tak faham bila kau bercakap tentang benda tu!" Dia berjalan mengililingiku sambil meneguk air bewarna putih yang berada di dalam cawan yang dipegangnya dari semasa ke semasa sambil berbicara tentang benda benda tersebut. "Seperti dulu, kau lupa apa yang kita bualkan sebelum ini, kan?" Aku bingung seketika, tetapi mindaku cuba mencari logik di dalam benda tersebut. Mesti kami pernah berjumpa sebelum ini, mesti kami pernah berbual mengenai sesuatu. Dari keadaan nada cara dia bercakap, kami pasti pernah bertemu sekurang-kurangnya empat kali, dan ini adalah kali keempat.

"Aku tak salahkan kau, kau manusia, serba kekurangan. Apa kaum kau cakap? Oh yaa! 'Bila taknak, selalu ingat. Bila nak, tak boleh nak ingat.' Biar aku terangkan lagi kepada kau. Kita pernah berjumpa sebelum ni. Bila dan di mana tidak berapa penting. Seperti antara urusan kau dengan Dia, kita juga ada urusan kita bersama."

"Hah? Adakah kau cuba cakap yang aku pernah bersetuju untuk menyembah kau seperti aku menyembah Allah 5 kali setiap hari?"

"Ooh jangan salah faham, anakku. Aku tidak pernah bercerita tentang menyembah dan 5 kali hari sehari. Jika kau memberikan masa kau 5 kali sehari untuk Pencipta Kita, aku hanya ambil sehari dari 5 tahun. Aku bukannya nak gunakan kau membuat kerja kerja aku. Apa yang kita akan buat hanyalah berbual."

Aku memandangnya dengan penuh rasa curiga sambil aku mengambil kesempatan untuk duduk di atas kerusi lembut yang tidak aku tahu dari mana munculnya.

"Ya anakku, kita hanya berbual sahaja. Tak lebih dari tu. Kali terakhir kita jumpa, aku tertidur mendengar cerita perbuatan dosa dosa yang kau buat dan betapa seronoknya kau membuat semua tu. Oh, kenapa kau terkejut wahai anakku? Ya benar, kau mengaku semuanya kepada aku. Aku masih ingat kau menangis dan gelak sendirian di kala kau memikirkan betapa jahilnya cara kau meningkat  menjadi dewasa. Tetapi sekarang, lain pula ceritanya. Kau sudah menjadi lelaki dewasa, mampu untuk berfikir sendiri dan berdikari. Oh, betapa sukanya aku akan kali keempat! Inilah saat yang aku paling aku suka bercakap dengan kau. Cuba terangkan kepada aku wahai anakku. Apakah aku kepada kau?"

Aku berfikir sejenak sebelum pertanyaannya itu, "Kau adalah Azazil ataupun Satan di dalam agama lain. Malaikat yang gugur, Penghasut manusia, dan engkau lah Pembawa kejahatan di dunia ini."

"Aku tahu, aku tahu semua tu, tetapi aku tak tanya SIAPAkah aku, sebaliknya APAkah aku?"

"Aku tak faham." Tidak langsung aku berasa pelik terhadap soalan tersebut, tetapi aku dapat merasakan yang dia sedang menanti jawapan yang betul terpacul dari mulutku.

"Heh" dia bersinis denganku. "Kaum kau menganggap aku adalah musuh Tuhan. CiptaanNya yang dimurkai olehNya kerana aku Pemberontak dan Sombong. Ada juga yang menganggap aku adalah punca kejahatan di dunia. Apa pendapat kau? Apakah aku kepada kau?"

Aku mengangkat bahuku dan menyelerengkan kepalaku sedikit seperti ingin memberitahu kepadanya yang aku tidak tahu untuk menjawab soalan itu. "Ahh! Tak pernah cuba kau fikir pasal aku, kan? Tak tahu nak cakap apa? Seperti yang aku sangka, 'bagai lembu dicucuk hidung'. Buat saja apa yang disuruh. Selagi kau betul di dalam pegangan kau, tak perlu kau tahu benda benda di sekitar kau. Bukankah Tuhan menyuruh kau mencari ilmu? Betul tak apa yang aku cakap?

Sekali lagi dia meneguk air dari cawan yang dipegangnya itu dan bersambung: "Aku mahu bertanya anakku, apakah Kebaikan dan Kejahatan? Apabila kau memakan makanan yang disediakan oleh ibu kau walaupun kau sudah kenyang ketika itu, adakah kau Baik kerana menghargai ibu kau dan beryukur dengan pemberian Tuhan? Atau Kau jahat kerana bersikap tamak dan tidak mengikut sunnah Nabi kau? Apabila kau memukul seorang dari kaum kau untuk mempertahankan yang lain, adakah kau menjadi Baik kerana menjadi seorang penyelamat? Atau kau Jahat kerana mendatang musibah ke atas saudara kau? Akhir sekali, apabila kau berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kehidupan yang lebih baik, adakah kau menjadi Baik kerana meminta petunjukNya? Atau kau Jahat kerana tidak bersyukur dengan apa yang kau ada sekarang? Biar aku tanya kau lagi sekali, Kaum kau tahu ke tak apa perbezaan antara Kebaikan dan Kejahatan sebenarnya?"

"Aku memang tak tahu." Berkata aku di dalam fikiranku.

"Ahh, yaa! Jujur dengan diri sendiri tapi tidak pada yang lain. Sungguh tipikal sifat kau wahai anakku."

"Kau boleh baca apa yang ada di dalam fikiran aku?" Sebab aku tak ingat mengeluarkan sebutir kata sebentar tadi.

"Aku mempunyai deria dan ilmu yang luas seperti saudara aku di atas sana. Apa yang kau cakap, tidak kira dari mulut , fikiran, mahu pun di dalam hati kau akan sentiasa dapat aku dengar. Aku akan ceritakan sedikit tentang diri aku wahai anakku. Ya, memang betul anggapan kau. Aku adalah Azazil atau Iblis dan sesetengah kaum kau memanggil aku al-Harits. Aku pernah menjadi Sayyid al-Malaikat dan Khazin al-Jannah untuk berpuluh ribu tahun sebelum terciptanya alam ni. Akulah yang tercantik dan terkuat di antara makhluk ciptaan Tuhanku."

"Jadi kenapa kau memberontak?" Aku mencelah.

"Siapa yang cakap aku memberontak?" Dapat aku lihat di dalam matanya yang menunjukkan secebis kesunyian.

"Itu yang yang aku baca dari Kitab suci al-Quran dan juga kitab suci agama lain"

"Adakah itu apa yang tertulis, ataupun apa yang telah difahamkan kepada kau? Selain itu, aku tidak tahu ada makhluk lain menyimpan nota untuk kaum kau."

Dia menarik sebuah kerusi dari belakangya dan duduk bertentangan denganku.

"Kaum kau telah dikurniakan akal fikiran daripada Tuhan tetapi tak ada seorang pun dari kaum kau pernah mempersoalkan apa yang tersurat di dalam kitab kitab yang kebenarannya dipilih ini. 'Allah adalah Maha Pengasih dan Maha Mengetahui. KehendakNya tidak pernah silap dan tidak pernah gagal.' Cuba kau fikir, jika benar Tuhan itu tidak pernah silap di dalam berjuta ciptaanNya, bagaimana aku boleh menjadi seperti ini dan kau menjadi rosak seperi itu?"

Iblis itu telah berjaya menyemarakkan api ingin tahu diriku terhadap soalan yang pernah aku bertanya pada diriku sendiri suatu ketika dulu. Walaupun aku suka arah hala tuju perbualan kami, aku merasakan diriku salah kerana termakan dek kata kata dari seseorang yang menjadi simbol kepada Penipuan.

"Ya, benar. Tuhan memberikan aku terlebih dahulu apa yang Dia panggil kurniaan terhebatNya kepada kaum kau iaitu Kebebasan Memilih. Bukan saja itu, aku bukan hanya dapat menggunakan, aku juga diberikan kuasa dari Tuhanku untuk memberi dan menyalurkannya kepada sesiapa yang aku nak. Aku tidak lagi terikat untuk menjadi apa yang dikehendakiNya. Dia menjadikan aku  sebagai konsep pertama Kebaikan dan Kejahatan:Pilihan. Aku dikurniakan keupayaan untuk memilih. Memilih apa yang aku nak buat dan dan apa aku nak fikir. Untuk mentaatiNya ataupun tidak."

"Dan kau memilih tidak?"

"Jangan terlalu cepat menjatuhkan hukum...Meskipun aku mempunyai Kebebasan Memilih, aku masih memilih untuk melakukan apa yang dikehendakiNya dari aku. Aku masih memilih untuk mentaati akan perintahNya. Aku buat untuk berpuluh ribu tahun lamanya sehinggalah...."

Dia menukar posisi duduknya dan bersandar dia atas kerusi tersebut.

"Sehinggalah Dia membuat konsep kedua Kebaikan dan Kejahatan:Pengorbanan. Dia meminta aku supaya berkorban demi ciptaanNya. Adalah sesuatu yang besar bagi aku untuk mengorbankan maruah aku untuk bapa kau."

"Kenapa kau enggan sujud kepada Adam? Bukankah kau makhluk paling taat diantara makhluk cipataan Allah?"

"Kenapa perlu aku sujud kepada bapa kau sedangkan dia tidak setanding dengan aku. Aku lebih mulia dari bapa kau. Aku diperbuat oleh Tuhanku dari api yang tidak berbau, dan kaum kau diperbuat daripada tanah yang kotor dan berbau. Kaum kau adalah lemah untuk dibandingkan dengan aku."

"Saudara kau kesemuanya mengikut perintah Allah tanpa sebarang soal, sedangkan kau ingkar terhadap apa yang dikehendakinya." Rasa ingin tahuku tidak lagi dapat aku bendung.

"Meskipun saudara aku kesemuanya tidak mempunyai Kebebasan Memilih, mereka semua boleh merasai kasih dan emosi. Kami boleh gembira dan sedih. Kami boleh menyayangi sesuatu lebih dari yang lain. Cuma beza antara aku dan mereka semua hanyalah mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memilih apa yang mereka mahu untuk mereka sendiri."

Aku menggaru kepala tanda kebingungan. "Aku tak faham. Kenapa dia menyuruh kau untuk menyesatkan manusia?"

"Dia tidak pernah menyuruhku. Aku yang memilih untuk menyesatkan kaum kau. Akulah yang membawa kau ke dalam posisi memilih dan mengingatkan kau sepanjang masa yang kau mempunyai pilihan. Suara kecil yang setiap kali kau dengar bahawa kau boleh memilih yang lain? Itulah aku. Aku adalah penasihat yang sentiasa mengingatkan yang kau boleh membuat atau menjadi yang lain dari yang lain. Aku ada di saat adanya kanan dan kiri."

Aku memeriksanya dengan teliti dan aku mendapati tiada rasa menyesal atau bersalah di dalam dirinya. Iblis tidak suka akan tugasnya yang baru tetapi dia melakukan tugasnya dengan taat seperti taatnya dia terhadap Allah suatu ketika dahulu.

"Seperti biasa, Tuhanku tidak salah. Dia tahu akan takdir, apa yang akan terjadi kerana Dia ADALAH takdir. Apabila takdir kaum kau sudah ditulis dan berlakunya ia, kaum kau menyalahkan AKU jika pilihan yang dia buat merugikan diri mereka sendiri, tetapi memuji diri mereka sendiri jika pilihannya menguntungkan buat mereka. Dari saat itu, konsep Kebaikan dan Kejahatan mula berubah. Kaum kau membentuk Kebaikan seperti mana mereka suka. Semua yang lain atau bertentangan dengan konsep kebaikan yang mereka bentuk adalah Kejahatan. Kejahatan berubah menjadi lebih dan lebih kepada AKU, sebab AKUlah kononnya kau tinggalkan solat, aku hanya ingatkan kau yang kau ada pilihan untuk solat sekarang atau sekejap lagi." Dia berdiri. Jejarinya dilumatkan hingga membentuk penumbuk.

"Bukankah kau yang meletakkan pilihan tersebut ke atas aku terlebih dahulu?!"

Matanya berubah menjadi semakin tajam melihatku dan perilakunya juga  berubah. Bibir yang sebelum ini mudah melontarkan senyuman manis kini berubah menjadi seperti bibir yang dipinjam dari seekor binatang yang buas.

"Adakah adil bagi aku apabila kau menyalahkan aku atas kesemua perbuatan bodoh yang kau buat?! Apabila kau membunuh saudara kau? Bukan aku yang bunuh tapi kau! Apabila kau mencuri? Bukan tangan aku tapi tangan kau! Apabila kau menipu? Bukan mulut aku tapi mulut kau! Apabila kau merogol? Tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan ke atas kau? Jauh di sudut hati kau, kenapa kau menyalahkan aku atas semua benda tersebut?"

Dia meminum air dari cawannya lalu dihempaskan ke lantas. Dia berjalan mengelilingi kerusiku, dengan mata yang berapi dan badan yang terketar-ketar apabila tiba tiba dia berdiri di depanku dan merenung ke arahku  seperti budak budak merenungkan makanan yang tidak disukainya di depan mata. Selepas itu, dia mendongak ke atas, mata tertutup dan tangan diletak di dada seperti dia mahu mengorek keluar isi jantungnya"

"Maafkan aku, Ya Tuhanku. Aku membiarkan kelemahanku mengatasi diriku." 

Dengan itu, dia membuang rasa amarah dan sedih terhadapku lalu duduk kembali di hadapanku untuk meneruskan perbualan kami. "Maafkan aku, jarang sekali aku  hilang kawalan terhadap emosi aku. Kau nak minum tak?"

Aku menolak permintaannya dan mendekatkan kerusiku dengannya. "Kenapa aku patut percaya kata kata kau? Kau tidak mempunyai kredibiliti. Nama kau sinonim dengan penipuan. Mempertaruhkan duit aku ke atas kau adalah satu tindakan yang bodoh."

"Kenapa? Kau tanya kenapa? Kenapa tidak? Bukankah itu yang kau selalu buat? Meletakkan kepercayaan kau ke atas seseorang yang beranggapan dirinya dekat dengan Tuhan. Kenapa kau fikir kau patut percaya dekat mereka? Sebab mereka pakai kopiah putih, jubah putih dan berceramah kata kata Tuhanku? Adakah itu menjadikan mereka lebih berkredibiliti dari saudara-saudara kau yang lain menyebarkan dakwah tapi dengan cara yang lain?"

"Hmm..ada betulnya kata kata kau tetapi kaum aku salah tidak menjadikan kau betul."

"Aku tak perlu jadi apa apa. Aku tegas dengan kepercayaan aku. Hati aku ikhlas terhadap diriku seperti mana kata kata aku terhadap kau. Bagaimana dengan kau pula? Jika benar kau percaya terhadap Tuhanku, kenapa kau bersusah payah membuat orang lain percaya? Betapa terdesaknya diri kau sampai sanggup mengiklankan kepercayaan dengan cara yang paling dibenci?"

"Apa maksud kau 'Iklan cara paling dibenci'?"

"Saluran-saluran media kau! Kau dan kaum kau nampak bodoh apabila menganjurkan apa yang kau panggil 'Ceramah Agama' dan mengaku yang dulunya kau jahat, berzina dan sekarang kau diberi hidayah oleh Tuhan. Tentulah kau cuba mempertahankan diri kau dengan mengatakan kau hanya nak orang lain tahu, dan menggagumi kuasa Tuhan, tapi PERLUkah sesuatu kepercayaan itu diiklankan? Perlukah kau mengaku itu dan ini? Dan yang paling penting, haruskah kau diberi ganjaran atas kepercaayaan kau?

Bam! Tepat pada muka! Seperti sesuatu yang keras dibaling ke arah wajahku. Ada betulnya kata Iblis ini. Apabila ditanya, kebanyakan dari kita akan menjawab kita sembahyang pada Allah kerana kita mahu mendapat kehidupan lebih baik dan ingin masuk ke Syurga. Pada waktu ini lah aku sedar yang kita telah mengubah kepercayaan kita menjadi kerja. Kita membuat kerana disuruh, tidak ikhlas di dalam hati.

"Apa kau rasa jika aku cakap yang tidak ada kehidupan yang baik dan Syurga? Ataupun tidak seperti yang diheboh-hebohkan kaum kau ketika kau membesar? Bagitahu anakku, apa akan jadi dengan kepercayaan kau bila aku memukulnya dengan kebenaran?"

"Aku bersedia, terangkan kepada aku." Aku membuang rasa melawanku dan mendengar perkataannya dengan rasa tidak sabar.

"Apa yang kau nak tahu, wahai anakku?"

"Adakah benar ada hidup selepas mati?" Aku menjawab dengan tidak sabar. Aku teringat akan seseorang pernah aku cintai dulu yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Aku berfikir tentangnya setiap detik, hari dan minggu melawan pemergiannya yang begitu perit bagiku untuk diterima. Aku teringat di saat aku terima berita tersebut dan betapa kosongnya hatiku apabila mengetahui dia pergi meninggalkan aku dari dunia ini.

"Ya dan Tidak. Ya, sebab memang benar ada. Tidak, sebab ia tidak seperti yang kau sangkakan. Begini, sesetengah manusia yang telah mati sudah pun berjalan di dunia ini sebagai kekal abadi. Cuma mereka tidak berjalan menggunakan kaki memijak tanah tetapi mereka hidup di kalangan manusia setiap hari."

"Sebagai hantu?"

"Bukan! Memori, tolol! Engkau sebenarnya yang memberi mereka hidup selepas mati. Melalui kau dan kata kata kau yang membuatkan mereka hidup selama-lamanya. Memori kau tentang perbuatan dan baktinya yang melindungi mereka di dunia ini. Seperti bagaimana kau memberi kawan kau peluang untuk hidup kekal abadi dengan berkongsi kisah hidupnya dengan saudara kau yang lain. Hanya kau dan yang menyayanginya saja yang memberikannya hidup selepas mati. Jika kau lupa akan memorinya, maka hilanglah dia dari dunia ini.

Hatiku seperti dicubit. Berlinangan air mataku mengalir di pipi memikirkan kehilangan seorang teman.

"Kalau macam itu, bagaimana pula Syurga dan Neraka?

"Oh, tentu sekali benar. Cuma tidak seperti mana yang kau gambarkan. Sebenarnya, kau dan kaum kau pernah masuk Syurga dan Neraka beberapa kali."

Aku memusingkan kepala sekitar bilik itu. "Adakah ini Neraka?"

"Tentu sekali bukan. Ini adalah mimpi, bukan Neraka. Ini adalah..." Dia meletakkan tangannya dekat dengan hatinya. "Ini adalah Syurga dan Neraka pada waktu yang sama. Ini adalah Syurga bila kau betul betul rasa bangga dapat menjejakkan kaki ke dalam Syurga. Ini adalah Syurga jika kau bebas dari perasaan bersalah dan menyesal yang kau dapat melihat Syurga. Manakala kau akan rasa ini adalah Neraka jika kau penuh dengan rasa bersalah, sesalan dan kesedihan. Kau akan dihempap hancur oleh hati kau sendiri, dan kekosongannya membuat kau tersangkut selama-lamanya di Neraka."

Dia bangun dari kerusinya dan mengambil beberapa langkah ke arah dinding gelas yang ada dibelakangnya.

"Apa yang kau cari di dalam hidup ini adalah sesuatu yang memang ada dengan kau selama ini. Kau saja yang terlalu sibuk mencari sesuatu yang lebih. Aku ingat apa yang Tuhanku cakap pasal kaum kau. 'Darjat mereka akan selalu di atasmu, mereka juga mudah tersentak dan jatuh dengan cubaan yang paling ringan'. Dia juga berkata bahawa meskipun kaum kau bongkak, kau pun tahu tu. Kau tidak akan pernah sedar akan kesempurnaan dan kelebihan kau. Jauh di sudut hati kau, kau sentiasa ragu-ragu tentang diri kau dan kau sentiasa mahu lebih untuk diri kau. Melalui kau, aku ingat betapa kasih dan sayangnya Tuhanku terhadap aku kerana aku dilahirkan dengan sesuatu yang manusia cari seumur hidup mereka. Kepuasan."

Aku tersentak. Iblis ini lebih arif tentang Manusia dari Manusia sendiri. Betul katanya. Kita menghabiskan masa kita di dunia cuba mencari jalan untuk memperolehi lebih lagi dan baik lagi(untuk kepercayaan kita). Kita meminta yang lebih, dan selepas mendapatnya, kita menghulurkan tangan kita dan masih lagi meminta yang lebih. Seperti tidak ada hentinya kelaparan manusia yang tidak akan pernah merasa kenyang.

"Aku tak faham, kenapa mereka menipu aku?" Bingung adalah tepat untuk gambarkan apa yang aku rasa setelah mendengar kata-katanya tadi. Aku memandang ke lantai yang berada di bawahku seperti ada satu beban yang berat diletakkan di bahagian tengkuk yang menyukarkan untuk melihat ke atas. Aku rasa dikhianati dan bodoh sombong pada masa yang sama. Kesedaranku terhadap kenyataan tersebut adalah pahit untuk aku terima daripada lega yang aku telah mendapat jawapan yang aku mintak selama ini. Apa yang paling aku kesalkan adalah aku mengambil ringan tentang Tuhan walhal begitu banyak benda yang aku perlu aku tahu tentangNya.

"Mereka tidak menipu kau. Mereka cuma tidak tahu..." Dia menuju ke arahku dan meletakkan tangan kanannya di bahu kiriku.

"Wahai anakku, peperangan di antara Kebaikan dan Kejahatan tidak berlaku di bawah sinar matahari, tidak juga ia berlaku di bawah pancaran bulan. Peperangan tersebut tidak dilancarkan dengan nuklear, pen mahu pun lidah. Maafkan aku, tetapi kau sedang melancarkan perang ini dengan cara yang salah. Ia adalah di dalam hati kau yang kau dapat mengatasi Kejahatan, ia adalah di dalam hati kau yang kau harus buktikan bahawa kau layak untuk Tuhanku, dan hanyalah di dalam hati kau, bukannya di mata saudara-saudara kau yang kau adalah Baik di dalam setiap aspek kehidupan yang dikehendakiNya."

Aku mendongak kepalaku ke atas dan aku melihat Iblis menitiskan air mata untukku. Dia tahu yang aku sedang menuju ke arah yang salah. Dia tahu bagaimana aku menipu, menipu dan terus menipu untuk menyelamatkan air mukaku sendiri. Dia tahu bagaimana aku meninggalkan rakan-rakanku sendirian kerana aku tidak mahu bertanggung-jawab atas perbuatanku. Paling teruk sekali, dia tahu yang aku sedang hidup di dalam kehidupan yang penuh dengan rasa bersalah, sesalan dan kesedihan.

Dia bangun dari tempat duduknya dan menghulurkan tanggannya.

"Tidak mengapa wahai anakku. Kegagalan bukanlah suatu persoalan yang ditanya JIKA, tetapi BILA. Kau masih boleh memilih untuk bangun dan berubah. Kau masih mempunyai kurnian terhebat Tuhanku wahai anakku."

Aku menyambut tangannya dan berdiri. Aku mengesat air mataku yang mengalir di pipi dan mengambil nafas yang dalam sebelum mendongak menyambut pandangan.

"Bagitahu aku wahai anakku, apakah Kebaikan dan Kejahatan?

Dia tersenyum dan ketawa sedikit. Aku dapat melihat dengan jelas bahawa dia gembira kerana aku sanggup untuk menerima perubahan.

"Seperti yang aku terangkan sebelum ini, hanya terdapat 2 benda yang bersangkut-paut dengan Kebaikan dan Kejahatan. Pilihan dan Pengorbanan.  Memilih untuk menerima kurnian terhebat Tuhanku dan sanggup melepaskan apa yang kau sayang."

Dia cuba merenung ke dalam mataku seperti ingin mengintai jiwaku.

"Kebaikan adalah bila kau memilih untuk berkorban dan Kejahatan adalah bila kau mengorbankan keupayaan kau untuk memilih. Ia adalah ujian Tuhan untuk melihat sama ada kau layak untuk mendekatiNya atau sebaliknya."

Setelah mendengar apa yang dia perkatakan tadi dan menyedari perbezaan kepercayaan kami berdua, aku merasa seperti sesuatu yang aneh menjetik hatiku, aku merasa seperti ringan, suam dan......GEMBIRA. Sesuatu yang aku pernah rasa dahulu tapi tidak dapat untuk aku mengingati bila dan bagaimana. Aku tersenyum dan air mataku mengalir berlinangan di pipiku dan aku mula menyedari akan semua ini.

Banyak yang aku belajar dari semua ini. Ketika ini baru lah aku mengerti mungkin tidak ada alam selepas mati. Mungkin tidak ada Syurga dan Neraka. Aku tahu aku kedengaran seperti orang tidak beriman. Aku percaya bahawa adanya Allah yang satu. Tetapi perlukah kita mengharap ganjaran untuk kita mempercayai sesuatu pegangan? Tidak juga aku cakap kita tidak perlu mempercayai sesuatu kerana kita telah dianugerahkan kurniaan terhebat Allah iaitu Kebebasan Memilih. Kita perlu berada di posisi di mana kita harus memilih supaya kita dapat mengekspressi atau mempraktikkan kurniaan tersebut dan membentuk kehidupan yang kita mahukan untuk kita sendiri. Tanpa kepercayaan, sama lah kita seperti Iblis. Makhluk yang dikurniakan Allah Kebebasan Memilih, tetapi tidak mempunyai peluang untuk menggunakannya. Aku juga mendapati bahawa Kebahagian hanya boleh dicapai jika kita memilih untuk berkorban meskipun kita sedar yang tidak ada apa yang menanti kita di akhirnya.

Adakah aku salah untuk berfikiran seperti ini? Adakah aku akan dilakhnat oleh Allah? Adakah aku akan dapat kehidupan yang sengsara? Aku hanyalah manusia. Mempunyai akal fikiran dan perasaan. Aku hanya menghargai apa yang dikurniakan Allah kepadaku. Dia memberikan akal untuk aku berfikir. Sama lah aku dengan binatang jika aku tidak menggunakan pemberianNya kepadaku. Kejamlah aku untuk menolak sifat azaliku. Kejam adalah suatu yang dibenci oleh Allah. Jatuhlah aku di kalangan orang kafir. Hanya satu tempat yang layak untuk orang kafir. Neraka. Itu yang difahamkan saudara saudaraku yang lain terhadap diriku selama ini. Aku tidak pernah membuat atau memikirkan sesuatu yang lahir dari hatiku. Tidak ikhlas kerana aku membuatnya kerana mengharap ganjaran yang diberikan kepadaku. Ini membuatkan aku sedar bahawa seseorang manusia tidak boleh lari dari Takdir. Tidak kira betapa lajunya aku berlari dan betapa kuat aku cuba mengubahnya. Jika kau menolak takdir, samalah kau menolak Allah. Bergantung kepada diriku sendiri untuk memilih untuk menerimanya atau tidak. Itulah yang paling penting. Berkorban membuang segala apa yang aku tahu tentang Kepercayaanku, dan memilih untuk beriman dengan caraku. Menjadi seorang manusia yang ditakdirkan ke atasku.

"Dan wahai Anakku...."

"Kenapa kau sering merujuk aku sebagai anak kau?" Aku mencelah ketika dia sedang bercakap kerana aku berasakan ada sesuatu yang ganjil mengapa dia memanggilku sebagai anaknya. Belum sempat dia dapat menjawab pertanyaanku, seperti ada kuasa yang sangat kuat menarikku keluar dari bilik itu dengan tiba tiba. Aku terbang di ruangan udara dengan dengan kelajuan yang amat laju. Ketika aku hampir untuk bangun dari tidurku, aku seakan-akan nampak apa yang Iblis cuba untuk cakap kepadaku daripada jauh. Aku tak mendengar perkataannya, tetapi dari gerakan bibirnya, cukup untuk aku tahu apa yang dia cakapkan kepadaku...

Serta merta aku sedar dari tidurku dan mendapati yang aku berada di atas katilku. Bilik itu cerah dengan pancaran cahaya matahari dan bunyi jam locengku berdering bagai nak gila. Sebelum aku bangun, aku mencapai apa yang Iblis gelarkan sebagai Kitab yang Kebenarannya Dipilih. Aku membelek muka surat demi muka surat sehinggalah aku terjumpa ini:

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah
 dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid;
dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan
yang demikian itulah Agama yang benar."
(Surah Al-Bayinah, Ayat 5)

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khathab bin Nufail bin Abdul ‘Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-’Adawi radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SWT bersabda: “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya”.





No comments:

Post a Comment